Sunday, May 11, 2008

Tragedi Taufan Nargis - Suatu Analisis Mudah

Assalamualaikum Semua…

Masing-masing sudah maklum dengan kejadian tragedi taufan Nargis yang melanda negara Myanmar pada 3hb Mei 2008 yang lalu. Rata-rata semua melahirkan rasa simpati terhadap mangsa-mangsa taufan Nargis. Lantas berduyun-duyun lah bantuan yang disalurkan walaupun wujud beberapa masalah teknikal antara kerajaan Junta Myanmar dan golongan yang berperikemanusiaan.

Namun saya bukan ingin mengatakan tentang taufan mahupun bantuan yang diterima oleh mangsa-mangsa Nargis. Saya bangga dengan keadaan dunia yang makin meruncing dengan masalah harga makanan utama meningkat, dunia amnya masih mampu membantu mereka di Myanmar ini. Namun saya sedih dengan negara saya sendiri. Sedih dengan teknologi yang dicanangkan oleh kerajaan Malaysia bahawa kita mempunyai sistem alert antara yang terbaik di dunia!!!

Mari kita fikirkan sejenak. Kedudukan Myanmar jika dilihat daripada angkasa tidak lah begitu jauh dibandingkan kedudukan Myanmar dengan di sebelah Eropah. Ketika bahagian kaji cuaca membuat ramalan cuaca, apakah jabatan berkaitan tidak mampu untuk meramalkan pergerakan angin yang bertiup di ruang angkasa negara bakal bergerak ke arah mana. Mustahil dalam masa 3-4 hari sebelum kejadian Nargis, jabatan meteorologi tidak dapat melihat pergerakan angin yang sudah lama bergerak dan mengumpulkan kekuatannya.

Mungkin Malaysia tidak mengamalkan budaya perkongsian ilmu. Mentang-mentang lah Myanmar sebuah negara yang agak mundur dari Malaysia, dengan teknologi yang pastinya ternyata lebih mundur dari Malaysia, diterukkan lagi dengan keadaan politik yang tidak berapa stabil, hatta menyebabkan Malaysia tidak berkeinginan untuk berkongsi maklumat yang diperolehi daripada ramalan kajicuaca yang diperolehi. Saya amat yakin, jika Malaysia berjaya memaklumkan sehari lebih awal, Nargis tidak akan mengorbankan begitu ramai mangsa yang tidak bersalah.

Pasti ada yang bertanya, mengapa Singapura tak maklumkan Myanmar? Singapura dan Myanmar jika diukur dari segi kejauhan, jauh sekali berbanding Malaysia. Saya juga tidak pasti kecanggihan teknologi yang dimiliki oleh Singapura. Lagipun saya menulis bukan sebagai rakyat Singapura tetapi sebagai rakyat Malaysia yang seringkali diwar-warkan di dalam arus media perdana sebagai antara yang mempunyai teknologi yang TERcanggih di dunia. Kita seharusnya mencontohi negara-negara yang sudah lama maju dalam bidang kajicuaca seperti Amerika Syarikat yang mampu mengeluarkan amaran kepada penduduk di kawasan-kawasan tertentu yang bakal dilanda angin kencang, ribut dan taufan untuk mengurangkan kadar kematian.

Malaysia tidak seharusnya berbangga dengan sistem amaran tsunami yang dimiliki sahaja. Kelihatan jelas, teknologi Malaysia tidaklah berapa hebat kerana ia seperti masih lagi bertatih. Harap kejadian Nargis ini membuka lebih banyak penambahbaikan dilakukan. Kita tidak boleh selama-lamanya bergantung dengan Amerika Syarikat dalam segala hal. Namun segala yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya yang hanya ALLAH sahaja yang tahu. Nargis menunjukkan kekuatan dan kekuasaan ALLAH mengatasi keupayaan manusia...