Thursday, October 23, 2008

Meramal Sikap dengan Perkaitan

Salam Kawan-kawan yang dihormati....

Berikut adalah sebahagian daripada petikan dalam Bab "Meramal Sikap dengan Perkaitan" daripada buku "Membina Personaliti Terbilang" karya Dr. HM Tuah Iskandar...menarik untuk dijadikan panduan kepada kekawan yang belum lagi berpunya dan masih tercari-cari.. :) harap sedikit sebanyak dapat membantu...

----------------------------------------------------------------------------------

Suatu hari dalam satu majlis dialog di UPSI, seorang peserta mengajukan soalan, lebih kurang begini,

"Dr. Tuah, bagaimanakah kita hendak mengenal seseorang itu sesuai dengan kita dan sekiranya kita bercinta dengannya, kita boleh menaruh harapan terhadapnya untuk ke mercu perkahwinan?"


Jawapan saya lebih kurang begini:

Pertama
Lihat tarikh lahirnya.
Berpandukan bulan kelahiran kedang-kadang kita boleh meramal perilaku, watak, pemikiran dan peribadi.

Kedua
Lihat iras wajahnya.
Sekiranya wajahnya ada mirip-mirip wajah kita sendiri biasanya dia boleh diharap. Perkaitan seperti ini tidak semestinya tepat, tetapi kita boleh menjadikannya sebagai langkah untuk memandu pilihan kita.

Ketiga
Ketahui sejarah atau latar belakang hidupnya.
Biasanya orang yang sama sejarah hidupnya lebih memahami serta membina prinsip-prinsip hidup yang serupa. Ia satu perkaitan yang adakalanya amat membantu dalam mengenali watak, perwatakan dan psikologi manusia.


----------------------------------------------------------------------------------

Sama-sama kita renungkan...Peringatan kepada diri sendiri juga tu... \^_^/

Monday, October 20, 2008

Musafir Cinta

Salam...

Alhamdulillah setelah beberapa bulan menanti, akhirnya dapat juga saya memegang jawatan sebagai seorang pegawai di bawah naungan pentadbiran kerajaan persekutuan. Saya perlu berkelana hingga ke Kajang, Selangor bagi jawatan Pegawai Penyelidik dengan Kementerian Pertahanan. Berjauhan dengan keluarga menyebabkan saya terpaksa fikir beberapa kali apakah perlu menerima ataupun tidak. Namun akhirnya saya menerima jawatan tersebut lantaran saranan penulis buku "La Tahzan" untuk berkelana melihat dunia yang lain di samping memerhatikan kebesaran dan kekuasaan ALLAH bagi melupakan sebarang kesedihan yang dialami. Apapun saya tetap bersyukur dengan percaturan yang telah ALLAH tetapkan.

Sejujurnya saya baru selesai membaca novel bertajuk "Musafir Cinta". Mengisahkan perjalanan hidup saudara Iqbal Maulana yang dimulakan dengan pergolakan yang berlaku semasa beliau di pasentran Tegal Jadin sehingga dihalau oleh pentadbiran pasentran. Bermulalah kembara cinta Iqbal Maulana yang betul-betul menginsafkan.

Bermula dengan pemilihan lokasi yang ingin dituju, pertemuan dan diskusi ilmiah dengan pemegang agama CINTA bernama Anton semasa di dalam bas dan seterusnya pertemuan dengan empat orang sahabat penyanyi jalanan - Firman, Patmo, Surya dan Parno. Kehidupan hitam Iqbal yang lampau mula menerjah tatkala dia menjalani kehidupan bersama Firman dan kawan-kawan.

Konflik dalaman yang dialami oleh Firman betul-betul membuatkannya hilang arah dan pertimbangan. Kejadian adiknya diperkosa beramai-ramai dan mati terbunuh serta penjenayah yang masih bebas menyebabkan Firman tidak lagi mempercayai wujudnya ALLAH. Bagaimana ALLAH itu wujud kalau DIA hanya membiarkan sahaja adiknya diperlakukan sebegitu...begitulah gaya pemikiran Firman terhadap kepercayaannya kepada ILAHI. Ketika perdebatan antara Iqbal dan Firman, sedikit sebanyak Iqbal terpengaruh dengan kata-kata Firman yang benar-benar berasaskan logik semata-mata. Sedikit demi sedikit Iqbal mula meninggalkan ibadah yang istiqamah dilakukannya - solat lima waktu dan mengaji / menghafal al-Quran.

Apakah Iqbal akan kembali kepada jalan ILAHI? Apakah Firman dan kawan-kawannya dapat diselamatkan? Maka seharusnya buku ini dijadikan pilihan untuk santapan rohani dan fikiran. Ada beberapa bahagian dalam kembara Iqbal menyebabkan air mata saya mengalir tanpa dipaksa. Ia seolah-olah cerminan hidup yang sedang saya lalui di Kajang kini. Ah, itu satu persoalan dan permasalahan lain. Yang penting, Musafir Cinta mampu menguatkan semangat saya untuk terus berkelana di Kajang.

Yang tak best nyer tentang novel ini, ia datang berjujukan. Jujukan novel yang sebenarnya ialah SYAHADAT CINTA, MUSAFIR CINTA dan MAKRIFAT CINTA karya saudara Taufiqurrahman Al-Azizy. Jadi kena dapatkan tiga-tiga buku ni untuk ketahui selengkapnya perjalanan hidup Iqbal Maulana.