Salam...
Alhamdulillah setelah beberapa bulan menanti, akhirnya dapat juga saya memegang jawatan sebagai seorang pegawai di bawah naungan pentadbiran kerajaan persekutuan. Saya perlu berkelana hingga ke Kajang, Selangor bagi jawatan Pegawai Penyelidik dengan Kementerian Pertahanan. Berjauhan dengan keluarga menyebabkan saya terpaksa fikir beberapa kali apakah perlu menerima ataupun tidak. Namun akhirnya saya menerima jawatan tersebut lantaran saranan penulis buku "La Tahzan" untuk berkelana melihat dunia yang lain di samping memerhatikan kebesaran dan kekuasaan ALLAH bagi melupakan sebarang kesedihan yang dialami. Apapun saya tetap bersyukur dengan percaturan yang telah ALLAH tetapkan.
Sejujurnya saya baru selesai membaca novel bertajuk "Musafir Cinta". Mengisahkan perjalanan hidup saudara Iqbal Maulana yang dimulakan dengan pergolakan yang berlaku semasa beliau di pasentran Tegal Jadin sehingga dihalau oleh pentadbiran pasentran. Bermulalah kembara cinta Iqbal Maulana yang betul-betul menginsafkan.
Bermula dengan pemilihan lokasi yang ingin dituju, pertemuan dan diskusi ilmiah dengan pemegang agama CINTA bernama Anton semasa di dalam bas dan seterusnya pertemuan dengan empat orang sahabat penyanyi jalanan - Firman, Patmo, Surya dan Parno. Kehidupan hitam Iqbal yang lampau mula menerjah tatkala dia menjalani kehidupan bersama Firman dan kawan-kawan.
Konflik dalaman yang dialami oleh Firman betul-betul membuatkannya hilang arah dan pertimbangan. Kejadian adiknya diperkosa beramai-ramai dan mati terbunuh serta penjenayah yang masih bebas menyebabkan Firman tidak lagi mempercayai wujudnya ALLAH. Bagaimana ALLAH itu wujud kalau DIA hanya membiarkan sahaja adiknya diperlakukan sebegitu...begitulah gaya pemikiran Firman terhadap kepercayaannya kepada ILAHI. Ketika perdebatan antara Iqbal dan Firman, sedikit sebanyak Iqbal terpengaruh dengan kata-kata Firman yang benar-benar berasaskan logik semata-mata. Sedikit demi sedikit Iqbal mula meninggalkan ibadah yang istiqamah dilakukannya - solat lima waktu dan mengaji / menghafal al-Quran.
Apakah Iqbal akan kembali kepada jalan ILAHI? Apakah Firman dan kawan-kawannya dapat diselamatkan? Maka seharusnya buku ini dijadikan pilihan untuk santapan rohani dan fikiran. Ada beberapa bahagian dalam kembara Iqbal menyebabkan air mata saya mengalir tanpa dipaksa. Ia seolah-olah cerminan hidup yang sedang saya lalui di Kajang kini. Ah, itu satu persoalan dan permasalahan lain. Yang penting, Musafir Cinta mampu menguatkan semangat saya untuk terus berkelana di Kajang.
Yang tak best nyer tentang novel ini, ia datang berjujukan. Jujukan novel yang sebenarnya ialah SYAHADAT CINTA, MUSAFIR CINTA dan MAKRIFAT CINTA karya saudara Taufiqurrahman Al-Azizy. Jadi kena dapatkan tiga-tiga buku ni untuk ketahui selengkapnya perjalanan hidup Iqbal Maulana.
No comments:
Post a Comment