Wednesday, November 26, 2008

Pencarian Insan Bernama Sahabat

Semalam (25 November 2008) saya berkesempatan menonton drama sinetron Mutiara di TV9 dari 5.30 petang hingga 6.30 petang. Ceritanya sarat dengan nasihat walaupun watak-watak utamanya adalah dalam kategori kanak-kanak yang masih bersekolah. Mutiara mengisahkan kehidupan sepasang kembar bernama Mutia dan Tiara bersama-sama dengan kawan-kawan dan ibu bapa mereka. Dari awal lagi saya sudah bersimpati dengan Tiara yang agak dianaktirikan oleh ibu bapanya sendiri kerana lebih mementingkan kesihatan Mutia yang sakit teruk lantas sanggup meninggalkan Tiara di bawah jagaan datuk dan nenek di kampung. Namun hati saya benar-benar tersentuh semalam semasa melihat scene di mana kawan-kawan Tiara bersusah-payah melakukan pelbagai perkara demi untuk membantu Tiara dan keluarganya yang sedang dalam kesusahan. Air mata saya mengalir tanpa dipaksa. Hmm…adakah saya mampu melakukan perkara yang sama seperti kawan-kawan Tiara jika kawan-kawan saya ditimpa masalah? Apakah saya ini dikategorikan sebagai SAHABAT kala susah dan senang? Berikut saya tampilkan berberapa perincian mengenai pencarian SAHABAT berserta beberapa hadis untuk dijadikan renungan bersama.


----------------------------------------------------------------------------------

Hadis-hadis
"Sebaik baik sahabat disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya" (H.R al-Hakim)

"Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya" (H.R Abu Daud). '

Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati.

Pepatah Arab
"Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita".


----------------------------------------------------------------------------------

Nasihat al-Qamah: Lima Cara Memilih Seorang bernama Sahabat

NASIHAT yang boleh diikuti dalam membina persahabatan ialah sebagaimana pesanan al-Qamah (seorang sahabat Rasulullah saw) kepada anaknya:

  1. Pertama
    Pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan.

  2. Kedua
    Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungkan (menyebutnya).

  3. Ketiga
    Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukan dirimu ia suka menutupinya.

  4. Keempat
    Pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.

  5. Kelima
    Sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu.

Dalam memilih sahabat kita hendaklah memilih sahabat yang baik agar segala matlamat dan hasrat untuk memperjuangkan Islam dapat dilaksanakan bersama-sama sahabat yang mulia.

Sumber lain:
http://www.islam.gov.my/e-rujukan/lihat.php?jakim=1319

-------------------------------------------

Monday, November 3, 2008

Adab Makan dalam Islam

Makan dengan tangan kanan adalah merupakan salah satu adab makan dan minum yang dianjurkan oleh ajaran Islam yang mungkin ada sebahagian dari kita masih tidak mengetahuinya. Bukan tidak tahu tapi lalai saya kira. Lalai dalam mempelajari adab-adab yang lengkap dalam Islam. Terimbas kembali pengalaman makan di Pizza Hut bersama teman-teman seperjuangan di UTM, Skudai dulu. Satu meja penuh dengan empat orang. Tiga daripadanya menyuapkan kepingan pizza dengan tangan kiri ke dalam mulut mereka ekoran pisau di tangan kanan dan garfu di tangan kiri. Hmm..saya pula terkial2 memotong terlebih dahulu kepingan pizza agar lebih kecil dan mudah dimasukkan ke dalam mulut. Selesai memotong, tukar pulak garfu ke tangan kanan dan pisau diletakkan di atas pinggan. Ada seorang pengunjung yang khusyuk memerhatikan tindakan saya dengan penuh rasa hairan di mukanya. "Kolotnya budak ini"...mungkin itu yang dia fikirkan ketika itu.

Atas alasan apa saya perlu bersusah-susah untuk menukar garfu dari kiri ke kanan?? Atas alasan apa pula ketika makan nasi dengan tangan kanan, ketika meneguk air, tangan kanan ini akan memanggung gelas yang dipegang dengan tangan kiri?? Segalanya berkaitan dengan penjelasan daripada AL-QURAN dan AS-SUNNAH yang telah lama dipelajari dan diterapkan oleh kedua-dua mak dan ayah dari kecil lagi. Terima kasih kepada mereka yang memastikan sekurang-kurangnya gaya hidup keislaman saya masih terserlah walaupun hanya dipandang dari sudut makan dan minum sahaja. Mari kita renungkan dalil-dalil berikut:

Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam menyampaikan pesanannya kepada kita dengan sabdanya (maksudnya),

"Apabila seseorang dari kamu makan, maka makanlah dengan tangan kanannya dan apabila minum, maka minumlah dengan tangan kanannya. Ini kerana sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya."

(Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Asyrabah).

Saranan Rasulullah tersebut tetap sah (valid) dan tetap perlu dipraktikkan walaupun kita makan dengan menggunakan sudu, chopsticks, garfu, atau selainnya, iaitu dengan semuanya dipegang (atau dikawal) dengan menggunakan tangan kanan.

Maka, inilah dia sebaik-baik petunjuk dan contoh yang perlu kita usahakan untuk mengikutinya dan mempraktikkannya, iaitu petunjuk dari junjungan mulia kita, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman (maksudnya),

"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut (mengingat) Allah."

(Surah al-Ahzaab, 33: 21)

Maka saya amat berharap kita sama-sama memuhasabah diri dan membaiki amalan kita walaupun hanya amalan kita di meja makan.

Jangan dipandang siapa yang mencurahkan ilmu tetapi pandanglah kepada ilmu yang ingin dicurahkan. Wallahu 'alam.