Monday, November 3, 2008

Adab Makan dalam Islam

Makan dengan tangan kanan adalah merupakan salah satu adab makan dan minum yang dianjurkan oleh ajaran Islam yang mungkin ada sebahagian dari kita masih tidak mengetahuinya. Bukan tidak tahu tapi lalai saya kira. Lalai dalam mempelajari adab-adab yang lengkap dalam Islam. Terimbas kembali pengalaman makan di Pizza Hut bersama teman-teman seperjuangan di UTM, Skudai dulu. Satu meja penuh dengan empat orang. Tiga daripadanya menyuapkan kepingan pizza dengan tangan kiri ke dalam mulut mereka ekoran pisau di tangan kanan dan garfu di tangan kiri. Hmm..saya pula terkial2 memotong terlebih dahulu kepingan pizza agar lebih kecil dan mudah dimasukkan ke dalam mulut. Selesai memotong, tukar pulak garfu ke tangan kanan dan pisau diletakkan di atas pinggan. Ada seorang pengunjung yang khusyuk memerhatikan tindakan saya dengan penuh rasa hairan di mukanya. "Kolotnya budak ini"...mungkin itu yang dia fikirkan ketika itu.

Atas alasan apa saya perlu bersusah-susah untuk menukar garfu dari kiri ke kanan?? Atas alasan apa pula ketika makan nasi dengan tangan kanan, ketika meneguk air, tangan kanan ini akan memanggung gelas yang dipegang dengan tangan kiri?? Segalanya berkaitan dengan penjelasan daripada AL-QURAN dan AS-SUNNAH yang telah lama dipelajari dan diterapkan oleh kedua-dua mak dan ayah dari kecil lagi. Terima kasih kepada mereka yang memastikan sekurang-kurangnya gaya hidup keislaman saya masih terserlah walaupun hanya dipandang dari sudut makan dan minum sahaja. Mari kita renungkan dalil-dalil berikut:

Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam menyampaikan pesanannya kepada kita dengan sabdanya (maksudnya),

"Apabila seseorang dari kamu makan, maka makanlah dengan tangan kanannya dan apabila minum, maka minumlah dengan tangan kanannya. Ini kerana sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya."

(Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Asyrabah).

Saranan Rasulullah tersebut tetap sah (valid) dan tetap perlu dipraktikkan walaupun kita makan dengan menggunakan sudu, chopsticks, garfu, atau selainnya, iaitu dengan semuanya dipegang (atau dikawal) dengan menggunakan tangan kanan.

Maka, inilah dia sebaik-baik petunjuk dan contoh yang perlu kita usahakan untuk mengikutinya dan mempraktikkannya, iaitu petunjuk dari junjungan mulia kita, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman (maksudnya),

"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut (mengingat) Allah."

(Surah al-Ahzaab, 33: 21)

Maka saya amat berharap kita sama-sama memuhasabah diri dan membaiki amalan kita walaupun hanya amalan kita di meja makan.

Jangan dipandang siapa yang mencurahkan ilmu tetapi pandanglah kepada ilmu yang ingin dicurahkan. Wallahu 'alam.

No comments: