Tuesday, December 23, 2008

Kamu Sentiasa Layak Diuji

"Mak kambing, maafkan saya. Saya nak ambil anak makcik untuk buat rendang ya!" pinta seorang pengusaha ternakan kambing kepada seekor kambing betina tua yang terpinga-pinga.

Perlukah beliau meminta izin si emak untuk menyembelih si anak? Jawapannya = TIDAK PERLU SAMA SEKALI.

Hakikatnya, emak kambing, ayah kambing, anak kambing dan seluruh ahli keluarganya adalah milik pengusaha ternakan kambing tersebut. Mahu diambil si emak, mahu diambil si anak, kuasa mutlak ada padanya.

Namun kerana ihsan yang ada pada diri, penternak kambing sentiasa mengambil si kambing dewasa untuk jualan dan sembelihan. Sesekali sahaja keadaan sebaliknya berlaku. Tiada pertikaian, kerana seluruh kandang itu milik dirinya. Manusia yang memberi makan, minum, penjagaan, rawatan, perlindungan dan segala yang diperlukan oleh si kambing untuk hidup sejahtera.


----------------------------------------------------------------------------------

RUBUBIYYAH ALLAH

Ada apa di sebalik kisah kambing?

Ia cara mudah untuk memahami kesan mengimani Rububiyyah Allah.

"Katakanlah: Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi atau siapakah yang memiliki penciptaan, pendengaran dan penglihatan? Siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan siapakah yang mengatur segala urusan? Maka mereka akan menjawab: Allah! Maka katakanlah: Mengapa kamu tidak bertakwa kepadaNya?"  [Yunus 10: 31]

Mengimani bahawa Allah sebagai RABB, bahawa Dia itu Pencipta alam, Pentadbir alam, Pengatur alam dan Pemilik alam… adalah sari pati pengertian iman kita kepada Rububiyyah Allah. 

Rububiyyah bukan iman muqaddimah yang remeh. Ia adalah iman asas, tempat di mana terbina dan berpijaknya kehambaan kita kepada Allah SWT. Sepatutnya, kesan mengimani Rububiyyah Allah inilah yang membawa kita kepada perbuatan menghambakan diri kepada-Nya, menunaikan tuntutan-tuntutan Uluhiyyah Allah, sebagai Ilah dan Keutamaan Tertinggi dalam hidup ini.

Namun, Iman warisan yang tiada nilai pilihan, mungkin tercicir akan hakikat ini. Dalam keadaan manusia beribadah kepada Allah, jiwanya gagal berhubung dengan Rububiyyah Allah.

Justeru dalam 'kesempurnaan' ibadah dan ritualnya, dia terlupa akan hakikat diri sebagai HAMBA.


----------------------------------------------------------------------------------

HAMBA YANG LUPA

Hamba yang lupa dirinya sebagai hamba, tidak bersedia untuk menerima ujian. Dalam taatnya, dengan segera dia melatah mempersoalkan kewajaran dirinya diuji.

"Apa salah anak saya. Mengapa dia yang mati, bukan saya!" kata-kata manusia yang terlupa.

Terlupa bahawa dirinya, anaknya dan seluruh ahli keluarganya, adalah milik mutlaq Allah, Pemilik mutlaq alam ini. Terikatkah Allah kepada peraturan kita bahawa anak yang sepatutnya menghantar ibu bapa ke kubur dan bukan sebaliknya?


----------------------------------------------------------------------------------

AYAT-AYAT CINTA

"Oh, novel itu sangat bagus. Ia panduan bercinta menurut Islam," komen gadis-gadis Islamik yang jatuh hati dengan novel Habiburrahman El Shirazy.

"Ceritanya indah sekali. Ana kepingin menjadi Fahri," ulas seorang akh yang larut dalam kisah syahdu di bumi Kinanah itu.

Mana mungkin Habiburrahman El Shirazy menulis sebuah novel, hanya untuk membentangkan soal cinta!

Saya bukan seorang pembaca novel. Namun dek kerana gahnya karya Ayat-ayat Cinta ini, saya gagahkan jua membacanya. Sungguh luar biasa. Filemnya juga ditonton. Bukan sekali tetapi dua.

Tetapi saya tidak melihat novel itu kemuncaknya adalah cinta. Saya tidak jadi 'mabuk cinta' membaca bait Ayat-ayat Cinta. Sebaliknya jiwa saya remuk meneman Fahri ketika di dalam penjara, kerana di situlah mesej teragung yang sepatutnya diangkat sebagai muhasabah terbesar ke atas jiwa.

Sama ada rakan sepenjara Fahri itu adalah Profesor Abdur Rauf yang dinukil novel, atau lelaki gila tanpa nama di dalam filem, ungkapannya bagai panahan lintar menampar pipi Fahri, juga saya yang membacanya:

"Allah sedang berbicara kepadamu tentang SABAR dan IKHLAS… SABAR dan IKHLAS itulah Islam"

Ya… kesalahan Fahri adalah pada sangkaan dirinya, bahawa setelah hidup dalam ilmu dan ketaatan, beliau tidak wajar diuji. Beliau itu bersih, suci, bagai yang dimahukan oleh Allah. Apatah lagi ujian itu adalah pada sesuatu yang bertentangan dengan nilai hidupnya. Mana mungkin seorang yang begitu bersih dari menggauli manusia berlawanan jantina, tertuduh dengan sebusuk-busuk fitnah, merogol Nora?

"Apa salah saya kepada Allah???" soalan seorang manusia bernama Fahri, yang tertipu dengan dirinya sendiri.

"Istighfar! Allah sedang memberitahu kamu supaya jangan sombong! Ingat siapa diri kamu!" bicara waras seorang manusia gila.

Itulah beban Ayat-ayat Cinta, bahawa segala tentang Fahri adalah untuk mempotretkan seorang manusia yang sempurna pada ilmu, pada amal, pada ibadahnya kepada Dia. Tetapi ikhlas dan musuh ikhlas itu sulit. Sulit dan tersembunyi bagai semut hitam merayap di atas batu hitam pada malam yang hitam pekat.


----------------------------------------------------------------------------------

MUSIBAH ITU ADA TUJUANNYA

Agar keikhlasan itu dapat dirasa, datanglah segala musibah untuk berbicara, dalam bentuk yang di luar bayangan dan jangkaan kita. Kerana kita manusia yang lupa, bahawa kita semua adalah hamba. Status yang menjadikan kita sentiasa layak untuk diuji, dan diperlakukan apa sahaja oleh Pemilik kita (dengan selautan hikmah). Masakan kita boleh terlupa bahawa sujudnya kita adalah kerana kita hamba, milik Dia?

Lulus ujian itu, meningkatlah darjat kita. Daripada seorang hamba yang kurang baik, kepada hamba yang lebih baik. Namun masih tetap seorang HAMBA.

Buruk sangka, tidak mencari 'bicara Tuhan' di sebalik musibah dan berantakan menyelaputi jiwa, binasalah kita sebinasa-binasanya.

Seorang lelaki yang baik, menjaga iman dan beramal soleh, difitnah berzina?

Seorang isteri yang baik, taat, melakukan segala kebaikan untuk kesempurnaan rumahtangga, dihadapkan dengan khianat suami bermain kayu tiga?

Seorang suami yang bertanggungjawab, melakukan kebaikan kepada rumahtangga tak berbelah jiwa, diuji dengan isteri dan anak-anak yang kufur nikmat bernafsu rakus meminta dunia?

Seorang anak yang datang dari sebuah keluarga bahagia, berdepan dengan keluarga mertua yang mengundang sengsara?

Seorang ibu dan seorang bapa, yang sangat menjaga hal ehwal pendidikan dan akhlaq anak-anak mereka, diuji dengan salah seorangnya menjadi pelesit menconteng arang ke muka?

Mengapa semua ini berlaku?

Itulah bicara Allah kepada kamu…

Kamu pernah mendakwa yang kamu menjaga pergaulan adalah KERANA DIA.

Kamu pernah mendakwa bahawa kamu mentaati suami dan menjaga kebajikannya adalah KERANA DIA.

Kamu pernah mendakwa bahawa kamu memelihara isteri dan anak-anak adalah KERANA DIA.

Kamu pernah mendakwa bahawa kamu menjadi anak yang baik adalah KERANA DIA.

Kamu pernah mendakwa baahwa kamu menjadi ibu dan bapa yang melaksanakan segala tugasan dengan sempurna adalah KERANA DIA.


----------------------------------------------------------------------------------

LUPA

Tetapi kamu terlupa.

Ketika kamu tidak bergaul bebas, menjaga hubungan, dan berakhlaq baik, kamu terlupa kepada Allah hingga menyangka yang kamu seharusnya menerima yang baik-baik sahaja dalam hidup ini. Bukan cela, bukan hina. Lelaki baik harus lancar memiliki perempuan yang baik.

Ketika kamu mentaati suamimu, menjaga segala keperluannya, kamu terlupa kepada Allah dan meletakkan jangkaan bahawa mencintai sama dengan memiliki, dicintai sama dengan dimiliki. 

Tatkala kamu menjaga isteri dan anak-anakmu, kamu lupa kepada Allah hingga kamu sangka itu semua jasa, dan jasa mesti dibalas budi.

Ketika kamu menjadi anak soleh, kamu lupa kepada Dia dan kamu sangka kebaikanmu itu suatu jaminan. Mustahil anak yang baik dikeji manusia ibu dan manusia bapa, biar pun mereka hanya mertua.

Semasa kamu mendidik anak-anak dengan sebaik-baik didikan, kamu lupa kepada Allah lalu mengharap kebaikanmu dikenang dan dibalas mereka, hingga terlupa niat kamu berkaitan Dia.


----------------------------------------------------------------------------------

BAIK DAN MUKHLIS

Garis yang memisahkan di antara seorang manusia yang berlaku baik, dengan seorang manusia yang ikhlas dalam kebaikannya, amat tipis.

Justeru datanglah ujian yang tidak disangka-sangka, untuk menzahirkan keikhlasan itu.

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji? [Al-Ankabut 29: 2]

Maka lelaki soleh yang difitnah zina, maka isteri solehah yang dikhianati suami, maka suami soleh yang dikufuri isteri, maka anak soleh yang disakiti ibu bapa, baik kandung atau mertua, maka ibu bapa solehin yang dikecewakan anak oleh perlakuan buruknya, ketahuilah bahawa ALLAH sedang berbicara kepada kamu.

Bicara untuk menyedarkan kamu, bahawa hati harus puas kerana mengikhlaskan kehambaan kepada-Nya. Bahawa sebaik mana sekali pun ibadah kamu, tanpa JIWA HAMBA, segalanya tidak bermakna. 

HAMBA sentiasa sedar dirinya dimiliki dan tidak memiliki.

HAMBA sentiasa sedar dirinya sentiasa layak diuji.

HAMBA sentiasa sedar bahawa lahirnya hanya untuk DIA.

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan tentang diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik - derhaka. [Al-Hasyr 59: 19]

Kita sentiasa layak diuji

Kerana kita adalah HAMBA.

Justeru hancurkanlah RASA MEMILIKI!

Sumber asal http://saifulislam.com/?p=4127 tulisan ABU SAIF

Kredit kepada Cik Cruel_Orchid kerana mengemail artikel ini J

Wednesday, December 17, 2008

Ujian Iman Kepada Hamba Allah

Hidup ini tiada sunyi dari ujian, susah dan senang, suka dan duka datang silih berganti. Barang siapa saja mengira bahwa hidup ini senang semata, suka semata, dan mewah semata atau menduga sebaliknya iaitu susah semata, sukar terus menerus dan sempit selamanya, sudah pasti sangkaan dan dugaan itu salah belaka. Itulah rupanya seni hidup, SUNNATULLAH pada alam ini.

ALLAH SWT, memerintahkan kepada malaikat malaikatNYA untuk memberikan pelbagai cubaan dan ujian kepada manusia. Dengan hadirnya ujian itu ALLAH berkehendak mengetahui apa yang tersembunyi dalam hati hambaNya, sebagaimana yang tertera dalam hadis Qudsi:

"ALLAH berfirman kepada malaikat malaikat-NYA: Pergilah kepada hamba-KU. Lalu timpahkanlah bermacam-macam ujian kerana AKU ingin mendengar suaranya". (HR.Thabrani)

Begitupun orang beriman, juga tidak luput dari ujian. Tujuannya tidak lain untuk mengukur kadar keimanan seseorang, di samping tentunya untuk mengetahui apakah orang tersebut benar benar beriman secara tulus atau sekadar dusta belaka.

Hal ini ditegaskan ALLAH dalam al-Quran pada surah Al-Ankabut ayat 2-3:

"Apakah Manusia mengira bahwa mereka dibiarkan mengatakan, kami telah beriman, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang orang sebelum mereka, dan benar-benar ALLAH mengetahui orang orang yang benar dan mengetahui pula orang orang yang dusta".

Perlu diketahui, ujian yang datang tidak semata berwujud kesusahan dan kesakitan, tetapi terkadang hadir dalam bentuk kesenangan dan kekayaan, sebagaimana termaktub dalam AL-QURAN surah Al-Anbiyah ayat 35:

"Dan Kami uji kalian dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan,dan kepada Kamilah kalian kembali".

Dalam kenyataan hidup, ujian berupa kesenangan dan kekayaan lebih berat daripada ujian berupa kesusahan. Betapa banyak orang yang memperoleh kekayaan tapi ia menyebabkan kecelakaan baginya. Kekayaan seperti itu menjadi ujian bagi dirinya.

Demikian juga dapat kita saksikan orang yang di uji dengan kekuasaan,kemegahan dan lain lain.

Hal ini sebenarnya telah di peringatkan ALLAH dalam surah Al-Alaq ayat 6 – 8:

"Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar benar melampaui batas dikala mengangap dirinya serba cukup, sesungguhnya hanya kepada Tuhan-mu lah tempat kembali".

Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w menegaskan:

"Demi ALLAH, bukanlah kefakiran dan kemiskinan yang akan aku khuatirkan atas kalian. Akan tetapi aku khuatir (jika) kemewahan dunia yang kalian dapatkan sebagaimana telah diberikan kepada orang orang sebelum kalian, lalu kalian bergelumang dalam kemewahan itu sehingga kalian binasa, sebagaimana mereka bergelumang dan binasa pula".(HR.Bukhari)

Dalam rangka melihat kelapangan hati manusia untuk menerima qada' dan qadar-Nya. Allah terkadang menguji pada fizikal, seperti penyakit atau kecelakaan. Dan ujian macam ini adalah yang paling ringan bagi manusia. Seandainya manusia sabar dalam menerima ujian itu,ditetapkan atasnya pahala dan dihapuskan sebagian dosanya,lalu diangkatlah darjatnya. Maka jadilah ujian itu nikmat baginya. ALLAH s.w.t berfirman dalam surat Al-Imran ayat 14:

"Telah dihiaskan kepada manusia kecintaan akan hawa nafsu berupa wanita, anak, berpikul-pikul harta benda berupa emas dan perak, kuda pilihan(kendaraan), binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, pada hal ALLAH memiliki tempat kembali yang baik".

Bagi kaum lelaki, ujian terberat adalah kaum wanita.Nabi bersabda:

"Sepeninggalanku, tiadalah ujian yang paling berbahaya bagi kaum lelaki kecuali golongan kaum wanita". (HR Bukhori).

Dalam memberikan ujian kepada hamba-NYA, ALLAH selalu mempertimbangkan kadar iman yang ada pada hambanya tersebut.

Semakin baik imannya,semakin berat pula ujiannya,sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w.

"Tingkat berat ringannya ujian di sesuaikan dengan kedudukan manusia itu sendiri. Orang yang banyak mendapat ujian itu adalah para nabi, kemudian baru yang lebih dekat darjatnya kepada mereka yang berurutan secara bertingkat. Orang diuji menurut tingkat ketaatannya kepada agama. Jika dia sangat kuat dalam agamanya, maka sangat kuat pula ujian baginya, dan jika lemah dalam agamanya, diuji pula oleh ALLAH sesuai dengan tingkat ketaatan kepada agamanya. Demikian bala dan ujian itu senantiasa ditimpahkan kepada seorang hamba sampai ia dibiarkan berjalan di muka bumi tanpa dosa apapun". (HR.Turmuzi)

Adapun tujuan umum diberikanya ujian kepada manusia adalah:

  1. Pertama
    Membersihkan dan memilih mana orang mukmin sejati, mana yang munafik.

  2. Kedua
    Mengangkat darjat dan menghapuskan dosa.

  3. Ketiga
    Membentuk keperibadian, sehingga menjadi pembela kebenaran sejati.

"YA ALLAH, Andainya Engkau mentakdirkan kami termasuk di dalam golongan yang berbahagia di akhirat kelak, Kau kekalkan kami di situ. Namun andainya Engkau takdirkan kami termasuk dalam golongan yang celaka, Kau hapuskanlah takdir tersebut dan masukkan lah kami ke dalam golongan yang berbahagia. Hanya Engkau yang mampu mengubah dan menetap takdir hidup kami dan sesungguhnya di sisi-Mu adalah Ummul Kitab".

Wallahua'lam.
Diedit daripada Sumber http://bismillahhirohmanirrohim.blogspot.com/2008/02/ujian-iman.html

Wednesday, November 26, 2008

Pencarian Insan Bernama Sahabat

Semalam (25 November 2008) saya berkesempatan menonton drama sinetron Mutiara di TV9 dari 5.30 petang hingga 6.30 petang. Ceritanya sarat dengan nasihat walaupun watak-watak utamanya adalah dalam kategori kanak-kanak yang masih bersekolah. Mutiara mengisahkan kehidupan sepasang kembar bernama Mutia dan Tiara bersama-sama dengan kawan-kawan dan ibu bapa mereka. Dari awal lagi saya sudah bersimpati dengan Tiara yang agak dianaktirikan oleh ibu bapanya sendiri kerana lebih mementingkan kesihatan Mutia yang sakit teruk lantas sanggup meninggalkan Tiara di bawah jagaan datuk dan nenek di kampung. Namun hati saya benar-benar tersentuh semalam semasa melihat scene di mana kawan-kawan Tiara bersusah-payah melakukan pelbagai perkara demi untuk membantu Tiara dan keluarganya yang sedang dalam kesusahan. Air mata saya mengalir tanpa dipaksa. Hmm…adakah saya mampu melakukan perkara yang sama seperti kawan-kawan Tiara jika kawan-kawan saya ditimpa masalah? Apakah saya ini dikategorikan sebagai SAHABAT kala susah dan senang? Berikut saya tampilkan berberapa perincian mengenai pencarian SAHABAT berserta beberapa hadis untuk dijadikan renungan bersama.


----------------------------------------------------------------------------------

Hadis-hadis
"Sebaik baik sahabat disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya" (H.R al-Hakim)

"Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya" (H.R Abu Daud). '

Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati.

Pepatah Arab
"Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita".


----------------------------------------------------------------------------------

Nasihat al-Qamah: Lima Cara Memilih Seorang bernama Sahabat

NASIHAT yang boleh diikuti dalam membina persahabatan ialah sebagaimana pesanan al-Qamah (seorang sahabat Rasulullah saw) kepada anaknya:

  1. Pertama
    Pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan.

  2. Kedua
    Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungkan (menyebutnya).

  3. Ketiga
    Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukan dirimu ia suka menutupinya.

  4. Keempat
    Pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.

  5. Kelima
    Sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu.

Dalam memilih sahabat kita hendaklah memilih sahabat yang baik agar segala matlamat dan hasrat untuk memperjuangkan Islam dapat dilaksanakan bersama-sama sahabat yang mulia.

Sumber lain:
http://www.islam.gov.my/e-rujukan/lihat.php?jakim=1319

-------------------------------------------

Monday, November 3, 2008

Adab Makan dalam Islam

Makan dengan tangan kanan adalah merupakan salah satu adab makan dan minum yang dianjurkan oleh ajaran Islam yang mungkin ada sebahagian dari kita masih tidak mengetahuinya. Bukan tidak tahu tapi lalai saya kira. Lalai dalam mempelajari adab-adab yang lengkap dalam Islam. Terimbas kembali pengalaman makan di Pizza Hut bersama teman-teman seperjuangan di UTM, Skudai dulu. Satu meja penuh dengan empat orang. Tiga daripadanya menyuapkan kepingan pizza dengan tangan kiri ke dalam mulut mereka ekoran pisau di tangan kanan dan garfu di tangan kiri. Hmm..saya pula terkial2 memotong terlebih dahulu kepingan pizza agar lebih kecil dan mudah dimasukkan ke dalam mulut. Selesai memotong, tukar pulak garfu ke tangan kanan dan pisau diletakkan di atas pinggan. Ada seorang pengunjung yang khusyuk memerhatikan tindakan saya dengan penuh rasa hairan di mukanya. "Kolotnya budak ini"...mungkin itu yang dia fikirkan ketika itu.

Atas alasan apa saya perlu bersusah-susah untuk menukar garfu dari kiri ke kanan?? Atas alasan apa pula ketika makan nasi dengan tangan kanan, ketika meneguk air, tangan kanan ini akan memanggung gelas yang dipegang dengan tangan kiri?? Segalanya berkaitan dengan penjelasan daripada AL-QURAN dan AS-SUNNAH yang telah lama dipelajari dan diterapkan oleh kedua-dua mak dan ayah dari kecil lagi. Terima kasih kepada mereka yang memastikan sekurang-kurangnya gaya hidup keislaman saya masih terserlah walaupun hanya dipandang dari sudut makan dan minum sahaja. Mari kita renungkan dalil-dalil berikut:

Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam menyampaikan pesanannya kepada kita dengan sabdanya (maksudnya),

"Apabila seseorang dari kamu makan, maka makanlah dengan tangan kanannya dan apabila minum, maka minumlah dengan tangan kanannya. Ini kerana sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya."

(Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Asyrabah).

Saranan Rasulullah tersebut tetap sah (valid) dan tetap perlu dipraktikkan walaupun kita makan dengan menggunakan sudu, chopsticks, garfu, atau selainnya, iaitu dengan semuanya dipegang (atau dikawal) dengan menggunakan tangan kanan.

Maka, inilah dia sebaik-baik petunjuk dan contoh yang perlu kita usahakan untuk mengikutinya dan mempraktikkannya, iaitu petunjuk dari junjungan mulia kita, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman (maksudnya),

"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut (mengingat) Allah."

(Surah al-Ahzaab, 33: 21)

Maka saya amat berharap kita sama-sama memuhasabah diri dan membaiki amalan kita walaupun hanya amalan kita di meja makan.

Jangan dipandang siapa yang mencurahkan ilmu tetapi pandanglah kepada ilmu yang ingin dicurahkan. Wallahu 'alam.

Thursday, October 23, 2008

Meramal Sikap dengan Perkaitan

Salam Kawan-kawan yang dihormati....

Berikut adalah sebahagian daripada petikan dalam Bab "Meramal Sikap dengan Perkaitan" daripada buku "Membina Personaliti Terbilang" karya Dr. HM Tuah Iskandar...menarik untuk dijadikan panduan kepada kekawan yang belum lagi berpunya dan masih tercari-cari.. :) harap sedikit sebanyak dapat membantu...

----------------------------------------------------------------------------------

Suatu hari dalam satu majlis dialog di UPSI, seorang peserta mengajukan soalan, lebih kurang begini,

"Dr. Tuah, bagaimanakah kita hendak mengenal seseorang itu sesuai dengan kita dan sekiranya kita bercinta dengannya, kita boleh menaruh harapan terhadapnya untuk ke mercu perkahwinan?"


Jawapan saya lebih kurang begini:

Pertama
Lihat tarikh lahirnya.
Berpandukan bulan kelahiran kedang-kadang kita boleh meramal perilaku, watak, pemikiran dan peribadi.

Kedua
Lihat iras wajahnya.
Sekiranya wajahnya ada mirip-mirip wajah kita sendiri biasanya dia boleh diharap. Perkaitan seperti ini tidak semestinya tepat, tetapi kita boleh menjadikannya sebagai langkah untuk memandu pilihan kita.

Ketiga
Ketahui sejarah atau latar belakang hidupnya.
Biasanya orang yang sama sejarah hidupnya lebih memahami serta membina prinsip-prinsip hidup yang serupa. Ia satu perkaitan yang adakalanya amat membantu dalam mengenali watak, perwatakan dan psikologi manusia.


----------------------------------------------------------------------------------

Sama-sama kita renungkan...Peringatan kepada diri sendiri juga tu... \^_^/

Monday, October 20, 2008

Musafir Cinta

Salam...

Alhamdulillah setelah beberapa bulan menanti, akhirnya dapat juga saya memegang jawatan sebagai seorang pegawai di bawah naungan pentadbiran kerajaan persekutuan. Saya perlu berkelana hingga ke Kajang, Selangor bagi jawatan Pegawai Penyelidik dengan Kementerian Pertahanan. Berjauhan dengan keluarga menyebabkan saya terpaksa fikir beberapa kali apakah perlu menerima ataupun tidak. Namun akhirnya saya menerima jawatan tersebut lantaran saranan penulis buku "La Tahzan" untuk berkelana melihat dunia yang lain di samping memerhatikan kebesaran dan kekuasaan ALLAH bagi melupakan sebarang kesedihan yang dialami. Apapun saya tetap bersyukur dengan percaturan yang telah ALLAH tetapkan.

Sejujurnya saya baru selesai membaca novel bertajuk "Musafir Cinta". Mengisahkan perjalanan hidup saudara Iqbal Maulana yang dimulakan dengan pergolakan yang berlaku semasa beliau di pasentran Tegal Jadin sehingga dihalau oleh pentadbiran pasentran. Bermulalah kembara cinta Iqbal Maulana yang betul-betul menginsafkan.

Bermula dengan pemilihan lokasi yang ingin dituju, pertemuan dan diskusi ilmiah dengan pemegang agama CINTA bernama Anton semasa di dalam bas dan seterusnya pertemuan dengan empat orang sahabat penyanyi jalanan - Firman, Patmo, Surya dan Parno. Kehidupan hitam Iqbal yang lampau mula menerjah tatkala dia menjalani kehidupan bersama Firman dan kawan-kawan.

Konflik dalaman yang dialami oleh Firman betul-betul membuatkannya hilang arah dan pertimbangan. Kejadian adiknya diperkosa beramai-ramai dan mati terbunuh serta penjenayah yang masih bebas menyebabkan Firman tidak lagi mempercayai wujudnya ALLAH. Bagaimana ALLAH itu wujud kalau DIA hanya membiarkan sahaja adiknya diperlakukan sebegitu...begitulah gaya pemikiran Firman terhadap kepercayaannya kepada ILAHI. Ketika perdebatan antara Iqbal dan Firman, sedikit sebanyak Iqbal terpengaruh dengan kata-kata Firman yang benar-benar berasaskan logik semata-mata. Sedikit demi sedikit Iqbal mula meninggalkan ibadah yang istiqamah dilakukannya - solat lima waktu dan mengaji / menghafal al-Quran.

Apakah Iqbal akan kembali kepada jalan ILAHI? Apakah Firman dan kawan-kawannya dapat diselamatkan? Maka seharusnya buku ini dijadikan pilihan untuk santapan rohani dan fikiran. Ada beberapa bahagian dalam kembara Iqbal menyebabkan air mata saya mengalir tanpa dipaksa. Ia seolah-olah cerminan hidup yang sedang saya lalui di Kajang kini. Ah, itu satu persoalan dan permasalahan lain. Yang penting, Musafir Cinta mampu menguatkan semangat saya untuk terus berkelana di Kajang.

Yang tak best nyer tentang novel ini, ia datang berjujukan. Jujukan novel yang sebenarnya ialah SYAHADAT CINTA, MUSAFIR CINTA dan MAKRIFAT CINTA karya saudara Taufiqurrahman Al-Azizy. Jadi kena dapatkan tiga-tiga buku ni untuk ketahui selengkapnya perjalanan hidup Iqbal Maulana.

Sunday, May 11, 2008

Tragedi Taufan Nargis - Suatu Analisis Mudah

Assalamualaikum Semua…

Masing-masing sudah maklum dengan kejadian tragedi taufan Nargis yang melanda negara Myanmar pada 3hb Mei 2008 yang lalu. Rata-rata semua melahirkan rasa simpati terhadap mangsa-mangsa taufan Nargis. Lantas berduyun-duyun lah bantuan yang disalurkan walaupun wujud beberapa masalah teknikal antara kerajaan Junta Myanmar dan golongan yang berperikemanusiaan.

Namun saya bukan ingin mengatakan tentang taufan mahupun bantuan yang diterima oleh mangsa-mangsa Nargis. Saya bangga dengan keadaan dunia yang makin meruncing dengan masalah harga makanan utama meningkat, dunia amnya masih mampu membantu mereka di Myanmar ini. Namun saya sedih dengan negara saya sendiri. Sedih dengan teknologi yang dicanangkan oleh kerajaan Malaysia bahawa kita mempunyai sistem alert antara yang terbaik di dunia!!!

Mari kita fikirkan sejenak. Kedudukan Myanmar jika dilihat daripada angkasa tidak lah begitu jauh dibandingkan kedudukan Myanmar dengan di sebelah Eropah. Ketika bahagian kaji cuaca membuat ramalan cuaca, apakah jabatan berkaitan tidak mampu untuk meramalkan pergerakan angin yang bertiup di ruang angkasa negara bakal bergerak ke arah mana. Mustahil dalam masa 3-4 hari sebelum kejadian Nargis, jabatan meteorologi tidak dapat melihat pergerakan angin yang sudah lama bergerak dan mengumpulkan kekuatannya.

Mungkin Malaysia tidak mengamalkan budaya perkongsian ilmu. Mentang-mentang lah Myanmar sebuah negara yang agak mundur dari Malaysia, dengan teknologi yang pastinya ternyata lebih mundur dari Malaysia, diterukkan lagi dengan keadaan politik yang tidak berapa stabil, hatta menyebabkan Malaysia tidak berkeinginan untuk berkongsi maklumat yang diperolehi daripada ramalan kajicuaca yang diperolehi. Saya amat yakin, jika Malaysia berjaya memaklumkan sehari lebih awal, Nargis tidak akan mengorbankan begitu ramai mangsa yang tidak bersalah.

Pasti ada yang bertanya, mengapa Singapura tak maklumkan Myanmar? Singapura dan Myanmar jika diukur dari segi kejauhan, jauh sekali berbanding Malaysia. Saya juga tidak pasti kecanggihan teknologi yang dimiliki oleh Singapura. Lagipun saya menulis bukan sebagai rakyat Singapura tetapi sebagai rakyat Malaysia yang seringkali diwar-warkan di dalam arus media perdana sebagai antara yang mempunyai teknologi yang TERcanggih di dunia. Kita seharusnya mencontohi negara-negara yang sudah lama maju dalam bidang kajicuaca seperti Amerika Syarikat yang mampu mengeluarkan amaran kepada penduduk di kawasan-kawasan tertentu yang bakal dilanda angin kencang, ribut dan taufan untuk mengurangkan kadar kematian.

Malaysia tidak seharusnya berbangga dengan sistem amaran tsunami yang dimiliki sahaja. Kelihatan jelas, teknologi Malaysia tidaklah berapa hebat kerana ia seperti masih lagi bertatih. Harap kejadian Nargis ini membuka lebih banyak penambahbaikan dilakukan. Kita tidak boleh selama-lamanya bergantung dengan Amerika Syarikat dalam segala hal. Namun segala yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya yang hanya ALLAH sahaja yang tahu. Nargis menunjukkan kekuatan dan kekuasaan ALLAH mengatasi keupayaan manusia...